Tuesday, May 1, 2007

Gambar-gambar masjid di China




From: Johari Yap
Date: 02/05/07 16:36:19
To: forum@utusan. com.my
Subject: Wajarkah cadangan pembinaan Masjid Cina?

Saya ingin berterima kasih kepada Mufti Perlis kerana mengemukakan cadangan
ini yang telah mencetuskan pelbagai perbahasan yang menarik dan sedikit
sebanyak membuka minda dan pemikiran rakyat Malaysia. Suratkhabar Inggeris
dan Cina juga tidak ketinggalan memaparkan persoalan ini yang sedikit
sebanyak mempromosikan Islam kepada mereka yang masih "belum Islam".

Saya tidak bersetuju dengan tulisan Encik Hassan bin Talib dari Kuala Lumpur
pada ruangan Forum bertarikh 5 Februari 2007. Beliau mengatakan bahawa
cadangan Masjid Cina ini tidak munasabah dan membazir. Ini amatlah tidak
tepat sekali jika dilihat pada sudut dakwah. Memang tidak dinafikan bahawa
persoalan masuk Islam dikaitkan dengan masuk Melayu masih menebal dikalangan
masyarakat Malaysia. Malah, terdapat persepsi yang mengaitkan Melayu sebagai
Islam manakala jika Cina bermakna bukan Islam walaupun pada ketika ini sudah
terdapat lebih 70 ribu Cina Muslim di Malaysia.

Dengan adanya Masjid Cina ini, secara tidak akan menunjukkan bahawa Islam
ini adalah universal yakni milik semua kaum. Sekurang-kurangnya golongan
cina bukan Islam di luar sana dapat memahami bahawa Islam ini milik semua
bangsa. Inilah yang cuba diperjuangkan oleh Persatuan Cina Muslim Malaysia
sebagai salah satu cara dakwah kepada masyarakat Cina yang merupakan
minoriti terbesar di Malaysia. Untuk pengetahuan semua, Masjid India sudah
wujud sejak sekian lama di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur dan saya pernah
bersembahyang Jumaat di sana di mana khutbahnya adalah dalam bahasa Tamil.
Saya sebagai Cina Muslim dan beberapa sahabat Melayu yang lain tiada
halangan untuk bersembahyang di sana.

Masjid Cina tidak bermakna masjid khas untuk orang Cina, cuma dari segi
penampilan dan penggunaan bahasa lebih banyak digunakan dalam bahasa Cina.
Kita ingin menonjolkan bahawa Islam ini mudah, dan boleh menerima
nilai-nilai murni yang baik dalam adat dan juga budaya Cina. Usaha hendaklah
ditumpukan kepada mencari titik persamaan antara Islam, bukannya
membesar-besarkan perbezaan antara agama, budaya atau adat. Melalui cara ini
bukan sahaja dapat menghilangkan kesangsian masyarakat Cina terhadap Islam,
malah boleh merapatkan hubungan dan mewujudkan perasaan hormat antara satu
sama lain.

Saya ingin mengambil contoh mengenai Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra
di Rantau Panjang yang dalam peringkat pembinaan dan akan siap September
tahun ini. Masjid ini bersenibina Cina dan kerajaan negeri tidak menunggu
sehingga ada 40 orang makmun Cina Muslim untuk mendirikannya. Selepas siap,
masjid ini akan diuruskan sepenuhnya oleh Majlis Agama Islam Kelantan yang
bertanggungjawab mentadbir masjid di negeri ini. Jika terdapat Cina Muslim
yang berkelayakan pada suatu masa nanti, mereka akan dilantik sebagai Imam
dan jika cukup makmun, khutbah atau kuliah akan disampaikan dalam bahasa
Cina.

Saya juga amat berharap agar cadangan ini tidak dipolitikkan oleh mana-mana
pihak yang boleh merugikan salah satu usaha dakwah kepada masyarakat Cina di
Malaysia ini.

Johari Yap
Setiausaha Kehormat
Persatuan Cina Muslim Malaysia
Cawangan Negeri Kelantan.

3 comments: