Tuesday, January 23, 2007

100 sukarelawan Kelantan bantu mangsa banjir

Misi yang disertai Nisa' Negeri Kelantan dan ambo.
*********************************************************************************************************************
KOTA BHARU, 19 Jan – Kesungguhan kerajaan Kelantan membantu mangsa-

mangsa banjir di Johor tidak terhenti setakat menyalur sumbangan RM1 
juta sahaja, malah hari ini lebih 100 sukarelawannya bertolak ke 
negeri terbabit. 

Mereka menaiki 30 kenderaan pacuan empat roda dan sebuah lori yang 
dikenali sebagai Misi Bantuan Banjir Briged Kebajikan Perdana 
Kerajaan Negeri Kelantan. 

Misi tersebut diketuai Ketua Briged Perdana Kelantan, Yuganu Yunus 
dilepaskan oleh Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat 
di JKR 10 pagi tadi. 

Selain mendapat kerjasama kerajaan negeri dan Jabatan Kebajikan 
Masyarakat misi itu turut disertai 12 badan bukan kerajaan termasuk 
Pupuk Nilai Murni Bhd, Gabungan Kelab 4 x 4 Kelantan. 

Kelab Sahabat Penyayang Malaysia, Persatuan Bulan Sabit Merah, 
Persatuan Intelek dan Graduan Kelantan, Pandu Puteri dan Nisa' Negeri
Kelantan
. Turut serta tiga doktor dan lima pembantu perubatan 
daripada Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia. 

Yuganu berkata, mereka akan berada di Kota Tinggi dengan menumpukan 
aktiviti membantu penduduk melalui gotong royong, perkhidmatan 
kesihatan dan penyediaan makanan. 

"Kami juga mendapat kerjasama daripada Kementerian Penerangan dan 
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Sepanjang 
berada di sana kita mengikut jadual ditetapkan pihak berkuasa 
tempatan," katanya. 

Menurutnya juga sepanjang berada di Kota Tinggi sukarelawan akan 
tidur di dalam khemah disediakan dalam kenderaan masing-masing. 

Ketika banjir gelombang pertama melanda Johor sebelum ini kerajaan 
negeri menghantar dua kumpulan sukarelawan bagi membantu mangsa-
mangsa banjir. 

Badan Perhubungan PAS Kelantan juga turut menyalurkan bantuan 
sebanyak RM49,000 dan makanan yang dihantar menggunakan lori. 

Sementara itu, Menteri Besar melahirkan sokongan penuh terhadap usaha 
dilakukan bagi membantu mangsa-mangsa banjir di Johor kerana mereka 
berdepan dengan kesusahan. 

Katanya, adalah menjadi kewajiban untuk membantu mereka yang ditimpa 
kesusahan. 

"Rakyat Kelantan mempunyai pengalaman berdepan dengan banjir kerana 
sebelum ini mereka sering mengalaminya. Kita boleh rasai apa yang 
dialami rakyat Johor sekarang. 

"Biar pun berlainan fahaman politik ia tidak akan menghalang usaha 
dilakukan kerana semua manusia adalah berasal daripada Nabi Adam," 
ujarnya. 

Kenderaan misi bantuan itu dilengkap dengan bendera dan pelekat yang 
berlatarbelakang bendera Kelantan dan wajah Menteri Besar. 

Tanpa menghiraukan hujan renyai-renyai Tuan Guru Nik Abdul Aziz 
melepaskan setiap kenderaan tersebut yang turut disaksikan anggota 
Exco, Dato' Husam Musa dan pegawai kerajaan negeri. //Hrkh

No comments:

Post a Comment